Monday, July 19, 2010

Istana Maziah



Dibina dengan senibina Perancis, Istana DiRaja ini menjadi kediaman rasmi pemerintah negeri terdahulu. Kini, ia digunakan sewaktu upacara rasmi DiRaja atau majlis keraian rasmi negeri.

Terletak di Bukit Puteri di Kuala Terengganu, istana ini menjadi kebangaan rakyat negeri Terengganu. Ia masih digunakan untuk acara rasmi seperti pertabalan Sultan Terengganu, perkahwinan, serta meraikan kenamaan rasmi kerajaan negeri.

Istana Maziah sebenarnya dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang terbakar dahulu. Istana Hijau dibina sewaktu pemerintahan Sultan Omar pada 10 Mac, 1870.



Arkitek pembinaan Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. Dia adalah saudara kepada Sultan Zainal Abidin III. Beberapa orang lain turut berjasa dalam menyediakan pelan dan menyiapkan Istana Maziah, iaitu Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Muhammad bin Abdul Rahim (Encik Mat), dan Dato’ Mata-Mata.

Bekalan kayu untuk membina istana datang dari Dungun dan diselia oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Bekalan batu-bata dan kapur pula diuruskan oleh Tengku Besar Paduka Indera.

Istana Maziah pada asalnya dibina dengan menggunakan campuran bahan binaan iaitu kapur, tanah liat, garam pasir, putih telur dan gula. Hampir 20 tukang kayu keturunan Melayu dan Cina bertanggungjawab dalam pembinaan Istana Maziah ketika itu.



Beberapa pengubahsuaian turut dilakukan sepanjang zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 -1942) dan Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1945- 1979). Tambahan turut dibuat ke atas istana pada 1972 dan 1998.

Tips

Istana Maziah adalah kediaman rasmi Sultan Terengganu. Ia terletak di Bukit Puteri, Kuala Terengganu, Terengganu.

Pengangkutan

Kapal terbang, kereta, bas atau teksi
Anda boleh ke Istana Maziah menggunakan Jalan Zultan Zainal Abidin atau Jalan Hiliran. Untuk ke Terengganu, anda boleh menggunakan kapal terbang, kereta, bas atau teksi.

Penginapan

Terdapat pelbagai kemudahan penginapan di sekitar Kuala Terengganu untuk kemudahan pengunjung ke sini.

Masjid Tengku Tengah Zaharah



Dikenali sebagai 'Masjid Terapung', senibinanya gabungan pengaruh moden dan 'Moor'. Ia kelihatan unik dan cantik pada malam hari.

Masjid Tengku Tengah Zaharah dibina di atas pelantar terapung, memberikan ia sudut unik. Ia terletak di sungai Terengganu dan salah satu senibina moden hasil salah seorang putera DiRaja Terengganu.

Masjid putih berkilauan turut menjadi ikon baru dalam senibina Islam di negara ini. Malah, pembinaan masjid ini turut memuatkan ciri setempat dengan penggunaan batu marmar, seramik dan bomanit.




Pembinaan masjid ini sebenarnya adalah inspirasi Almarhum Sultan Terengganu, Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Masjid ini dinamakan sempena ibunya, Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja.

Kedamaian masjid ini turut terserlah dengan keindahan Laut China Selatan, menjadikan ia suatu destinasi pelancongan yang menarik di Terengganu.



Tips

Masjid ini terletak di Teluk Ibai, hanya 4 km dari pusat bandar Kuala Terengganu dan berdekatan dengan kawasan pantai Terengganu.

Pengangkutan

Bas, Kereta
Masjid ini terletak di Jalan Sultan Mahmud, kira-kira 4 km dari pusat bandar Kuala Terengganu. Dari bandar Terengganu, anda perlu mengikut arah ke selatan menuju head Marang atau Kuantan menggunakan bas, atau memandu kereta. Setelah kira-kira 6 - 8 km, anda akan dapat melihat masjid di tepi jalan di sebelah kiri.

Pulau Kapas




Pulau Kapas yang terletak kira-kria 6km dari pinggir pantai Marang ialah sebuah pulau yang tersohor dengan air lautnya yang jernih, pantai berpasir putih dan lambaian pohon kelapa yang gemalai. Pulau ini yang agak terpencil, jauh dari kesibukan di tanah besar merupakan destinasi yang paling sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk ketenangan dan berehat. Pelbagai jenis batu karang lembut dan keras, ikan, penyu dan hidupan laut lain yang menarik menjadikannya destinasi wajib bagi penyelam skuba dan perenang snokel yang arif.




Suasana pulau yang santai ini memberi keselesaan kepada pelawat untuk berehat di sini. Selain itu terdapat pelbagai aktiviti di sini untuk memenuhi masa lapang anda. Pilih sahaja kesukaan anda : menyelam, berenang, snokel, luncur papan air, kayak, menaiki bot atau memancing.


Tips

Pulau Kapas sukar dikunjungi sewaktu musim hujan di pantai timur (November - Mac).

Pengangkutan

Jalan Darat (Bas)
Perjalanan bot dari Marang ke Pulau Kapas memakan masa selama 30 minit.



Penginapan

Pulau ini mempunyai resort yang selesa tetapi pelawat disarankan menempahnya sebagai sebahagian dari pakej percutian menyelam yang merangkumi makanan, sesi menyelam dan tempat penginapan.

Pasar Kedai Payang



Pasar Pusat yang dikenali sebagai Pasar Payang terletak di tepi Sungai Terengganu dan merupakan salah sebuah destinasi pelancong yang paling terkenal di Kuala Terengganu. Pasar yang terletak di dalam sebuah bangunan moden ini menawarkan pelbagai jenis hasil kraftangan tradisional seperti batik, kain sutera, songket, kain brocade and barangan logam serta sayur-sayuran yang segar.




Pelawat yang berkunjung ke pasar ini tentu seronok membeli barangan tempatan di sini pada harga yang murah. Pasar ini juga merupakan tempat yang sesuai untuk memerhati dan memahami budaya di sini sambil memerhati penduduk tempatan sibuk membeli-belah di sini.



Tips

Sewaktu di sini, cubalah menjamu selera dengan hidangan tempatan istimewa - Keropok Lekor - keropok rangup yang dibuat dari campuran ikan dan tepung sagu. Keropok ini lazimnya dimakan bersama sos cili. Sungguh enak!

Pengangkutan

Jalan Kaki atau Teksi
Pasar Payang terletak di tengah bandar Kuala Terengganu dan mudah untuk ke sini walau di mana anda menginap.

Penginapan

Bandar Kuala Terengganu menawarkan pelbagai jenis tempat penginapan dari asrama pengembara yang ringkas hingga hotel bertaraf 5-bintang.

Tasik Kenyir



Tasik Kenyir yang cantik ini adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang merentasi 260,000 hektar.

Tasik ini juga merupakan kawasan empangan batu-hidro-elektrik batu- batan terbesar di Malaysia. Apabila kawasan ini dibanjiri air, kebanyakan kawasan pergunungan berada di atas paras air, sekaligus membentuk 340 pulau buatan manusia.

Kawasan hutan hujan yang meliputi tempat ini juga mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna. Ini termasuk koleksi paku-pakis liar, bunga orkid eksotik, burung kenyalang, gajah dan harimau bintang.

Ia turut menempatkan lebih 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies tumbuhan, 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.




Ini adalah kawasan percutian popular bagi pengunjung yang ingin dikelilingi kawasan hutan yang indah. Ia juga menjadi tempat kegemaran pemancing kerana menempatkan pelbagai spesies ikan sungai seperti Baung, Toman, Kelisa, Lampan dan Kelah.

Kawasan tasik ini juga popular untuk aktiviti kayak, naik bot, trek hutan, memandu kenderaan pacuan 4 roda dan bermain golf.

Tasik Kenyir juga pintu masuk ke Taman Negara melalui laluan Tanjung Mentong.



Tips

Tasik Kenyir terletak kira-kira 55 km dari Kuala Terengganu. Jeti Gawi ialah pintu masuk utama ke tasik itu yang terletak bersebelahan Pengkalan Utama. Jeti itu juga mempunyai perkhidmatan bot untuk mengelilingi kawasan pulau dan pertukaran ke resort di sini.

Pengangkutan

Kereta :

Terdapat beberapa laluan alternatif untuk ke Tasik Kenyir. Jika anda menggunakan kenderaan dari Kuala Lumpur, ikut laluan ke Ajil melalui lebuh raya ke lebuh raya Jerengau-Jabor, kemudian menuju ke Kenyir. Pilihan lain ialah mengikuti laluan pesisiran pantai melalui Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan terus ke kawasan Tasik Kenyir.

Bot
Terdapat beberapa pengendali bot sewa dari Jeti Gawi, anda boleh menggunakan bot bertingkat atau bot kaca merentasi Tasik Kenyir. Anda dinasihatkan untuk membuat tempahan, ada beberapa agensi pelancongan yang menawarkan pakej percutian.

Kapal Terbang
Terbang dengan pilihan Malaysia Airlines atau Air Asia. Mereka terbang setiap hari ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, anda boleh menggunakan teksi dan terus ke Tasik Kenyir. Tambang adalah sekitar RM 60.00. Jika anda ke Kuala Berang, tambang sekitar RM30.00.


Penginapan

Penginapan di sini terdiri dari pelbagai pilihan termasuk resort bertaraf 3 bintang, chalet, resort terapung atau rumah bot yang turut menyediakan makanan dan tempat penginapan. Rumah bot itu turut mengunjungi kawasan air terjun dan kawasan memancing dan menjanjikan kelainan kepada mereka yang menggemarkan alam semulajadi.

Taman Tamadun Islam



Taman Tamadun Islam merupakan sebuah kembara interaktif monumen Islam di serata dunia. Ia memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia.

Terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, taman seluas 23 hektar ini adalah sebahagian daripada projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar tebingan sungai. Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon: Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.

Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam. Kompleks ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia.



Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.




Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu.

Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang telah dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008.

Tips

Ini adalah taman tema pertama di dunia mempamerkan keagungan kesenian kebudayaan Islam. Layari laman web: www.tti.com.my

Pengangkutan

Teksi, Pengangkutan Awam
Perkhidmatan bas dari bandaraya ke taman ini sudah beroperasi. Selain itu, terdapat pengangkutan teksi dari pusat bandar ke taman tersebut.

Bot penambang
Pelawat juga boleh menggunakan bot penambang dari jeti Shahbandar ke jeti Tok Ku Paloh, yang terdapat di taman itu.

Muzium Terengganu



Ini adalah kompleks muzium terbesar di Asia Tenggara, dengan menempatkan empat blok utama selain mempunyai muzium maritim dan lima rumah tradisional.

Ia dibina dengan landskap taman yang indah, dan mengembalikan kegemilangan Terengganu yang kaya dengan sejarah budaya yang kekal sehingga ke hari ini.

Terletak di atas 27 hektar tanah di Bukit Losong, Kuala Terengganu, kompleks ini menyerlahkan senibina yang menarik mendapat inspirasi dari istana lama di Terengganu.




Ia menempatkan sebuah muzium utama, muzium maritim, muzium perikanan, empat rumah tradisional, dan taman botani serta taman ulam.

Muzium utama mempunyai galeri yang mempamerkan tekstil, teknik anyaman, senjata tradisional, perkembangan petroleum, seni Islam dan banyak lagi.



Tips

Kaunter tiket terletak di Jeti Shahbandar, berhadapan Pejabat Pos Utama. Harga tiket ialah RM 5 seorang.

Pengangkutan


Kereta :

Mereka yang ingin memandu sendiri ke Muzium, harus mengambil laluan ke Kampung Losong yang terkenal dengan pembuatan keropok lekor. Muzium itu dapat dilihat di atas Bukit Losong.

Bas
Hanya 15 minit perjalanan menggunakan bas dari stesyen bas MPKT ke Muzium atau Losong.

Teksi
Dari Stesyen Teksi Kuala Terengganu, perjalanan hanya 10 minit untuk ke muzium.